Isnin, 6 November 2017 | 7:08pm
Pegawai pengawal selia Thailand, Takorn Tantasith.

Thailand wajib pemeriksaan biometrik daftar kad SIM

BANGKOK: Thailand akan memperkenalkan pemeriksaan biometrik di seluruh negara bagi pengguna telefon bimbit yang mendaftar mendapatkan kad SIM mereka bermula 15 Disember ini.

Syarikat pengawal selia telekomunikasi berkata, langkah itu bagi menghapuskan urus niaga elektronik palsu.

Peraturan baharu itu mensyaratkan pengguna sama ada menggunakan pengesahan cap jari atau imbasan wajah.

Pengawal selia itu kali pertama melancarkan sistem berkenaan Jun lalu di Selatan Thailand di mana pemberontakan pemisah berterusan selama lebih sedekad, mengorbankan lebih 6,500 orang sejak 2004.

Pihak berkuasa berkata, pemisah di wilayah majoriti etnik Melayu di Yala, Pattani dan Narathiwat menggunakan kad SIM pra-bayar untuk meletupkan bom.

Pegawai pengawal selia, Takorn Tantasith dalam sidang media berkata, pendaftaran biometrik di selatan diguna pakai atas faktor keselamatan namun di tempat lain di Thailand, ia melindungi keselamatan perbankan mudah alih.

"Ia bukan menyasar mengesan pengguna, namun melanjutkan ciri keselamatan terutama dalam kes pembayaran mudah alih," kata Takorn yang juga Setiausaha Agung Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran Kebangsaan.

Sistem biometrik sama sudah digunakan di Bangladesh, Pakistan dan Arab Saudi.

Beliau menambah, bermula 15 Disember ini, rakyat Thailand disyaratkan mendaftarkan kad baharu SIM, kedua-dua pra-bayar dan pasca-bayar di pusat khidmat dan peruncit di seluruh negara yang akan dilengkapi alat biometrik. - Reuters

255 dibaca
Berita Harian X