Isnin, 6 November 2017 | 9:54pm
Penyelamat mencari orang yang hilang berhampiran bot nelayan yang ditolak ke darat di pantai di wilayah tengah Binh Dinh berikutan laluan Taufan Damrey. - Foto AFP

Terkini: Angka maut banjir Vietnam 61

DANANG: Angka maut akibat serangan taufan dan banjir berterusan di Vietnam mencecah 61 orang hari ini dan kerajaan berkata sesetengah empangan mencecah paras bahaya.

Taufan Damrey membadai seluruh kawasan tengah Vietnam Sabtu lalu beberapa hari sebelum rantau itu menganjurkan sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, China (Xi Jinping) dan Russia (Vladimir Putin).

Jawatankuasa Mencari dan Menyelamat Vietnam berkata, 61 orang maut dan 28 lagi dilaporkan hilang. Katanya, sesetengah mangsa hanyut di laut.

Mangsa lain maut akibat tanah runtuh namun tidak memberi pecahan berkaitan jumlah.

Katanya, lebih 2,000 rumah musnah dan lebih 80,000 lagi rosak. Jalan raya ditenggelami air atau hanyut menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di beberapa wilayah.


Rumah yang ditenggelami air akibat banjir di daerah Hoa Vang, bandar utama Danang berikutan laluan Taufan Damrey di tengah Vietnam. - Foto AFP

Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc mempengerusikan mesyuarat tergempar bencana itu.

Menteri berkata, oleh kerana sesetengah empangan penuh, air perlu dilepaskan untuk mengurangkan tekanan, berpotensi memburukkan lagi banjir di hiliran.

Di bandar ini, pihak berkuasa memanggil anggota tentera dan penduduk tempatan untuk operasi pembersihan supaya kawasan peranginan itu bersedia menerima delegasi sempena APEC bermula Isnin depan.

Pemimpin dijangka bertemu bermula 10 November dan penganjur berkata, jadual tidak terjejas kerana cuaca.

Namun majoriti kawasan di bandar lama Hoi An, tapak Warisan Dunia UNESCO yang dijangka dilawati pasangan pemimpin APEC Sabtu ini, dinaiki air ke paras kepala dan orang ramai menaiki sampan menyusuri jalan.

Pihak berkuasa berkata, lebih 7,000 haiwan ternakan mati. Banjir meragut lebih 80 nyawa di utara Vietnam bulan lalu dengan serangan taufan menyebabkan huru hara di wilayah tengah September lalu. -Reuters

413 dibaca
Berita Harian X