Selasa, 7 November 2017 | 8:19pm
PENGGODAM didakwa menggodam komputer negara jiran serta ASEAN. - Foto Reuters

Penggodam sasar jiran Vietnam

SINGAPURA: Kumpulan penggodam sebelum ini dikaitkan dengan kerajaan Vietnam atau bekerja bagi pihak mereka, didakwa menggodam komputer negara jiran serta ASEAN.

Pengasas dan Ketua Eksekutif syarikat keselamatan siber Volexity, Steven Adair, berkata kumpulan penggodam itu masih aktif dan memecah masuk laman web ASEAN, dalam beberapa mesyuarat sidang kemuncak profil tinggi.

ASEAN kini sedang mengadakan satu lagi mesyuarat pemimpin serantau di ibu kota Manila, Filipina minggu ini.

Mei lalu, syarikat keselamatan siber FireEye melaporkan, kumpulan itu, yang digelar APT32, juga dikenali sebagai OceanLotus, secara aktif menyasar rakyat pelbagai negara dan pembelot di Vietnam.

FireEye berkata, ketika itu, kegiatan kumpulan terbabit 'berkaitan kepentingan Vietnam.'

Adair berkata kepada Reuters, beliau bagaimanapun tiada asas menuduh siapa dalang penggodam, namun keupayaan APT32 menandingi kebanyakan kumpulan ancaman lanjutan lain (APT), terma sering digunakan merujuk kumpulan penggodam yang dipercayai menerima sokongan kerajaan.

"Apa yang kami boleh katakan ialah, ini penyerang yang memiliki sumber mencukupi sehingga berupaya menjalankan beberapa kempen serangan serentak," katanya.

Adair berkata, tidak jelas berapa banyak maklumat dicuri kumpulan itu.

"Kami tidak mengetahui sekala kecurian data, namun apa yang kami boleh katakan ialah skala dan capaian laman yang digodam sangat jauh," katanya.

Volexity dalam satu laporan berkata, kumpulan itu menggodam laman web kementerian atau agensi kerajaan di Laos, Kemboja dan Filipina supaya mereka boleh memuat naik kod jahat ke dalam komputer mangsa sasaran.

Kementerian terbabit termasuk Kementerian Luar Kemboja, Alam Sekitar, Perkhidmatan Awam dan Hal Ehwal Sosial serta Polis Nasional.

Di Filipina, ia menggodam laman web pasukan bersenjata dan pejabat presiden. Tiga laman web ASEAN dan berpuluh-puluh kumpulan bukan kerajaan, individu dan media di Vietnam turut disasarkan. Ia juga menjejaskan laman web milik beberapa syarikat minyak China.

Pihak berkuasa di ibu pejabat ASEAN di Jakarta, gagal dihubungi untuk mengulas. - Reuters

361 dibaca
Berita Harian X