Khamis, 9 November 2017 | 8:26pm

Singapura tahan suri rumah rancang sertai Daesh

SINGAPURA: Seorang suri rumah Singapura yang merancang menyertai pergerakan Daesh di Asia Barat ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia adalah tangkapan terbaru rakyat Singapura kerana didakwa menyokong kumpulan militan itu atau merancang menyertainya, dengan pemimpin republik berkenaan memberi amaran ia menjadi sasaran utama serangan disebabkan status sebagai pusat kewangan serantau.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, Munavar Baig Amina Begam, 38, rakyat Singapura yang berasal dari India, terpengaruh dengan gerakan radikal menerusi dalam talian oleh seseorang yang meyakinkan beliau bahawa Daesh cuba melindungi penduduk Islam Sunnah di zon konflik.

"Dia dipengaruhi sehingga ke tahap sedia menjalani latihan ketenteraan dan mengangkat senjata untuk berperang dengan Daesh di Asia Barat jika dipanggil berbuat demikian," menurut kenyataan kementerian itu.

Amina yang turut berkongsi propaganda Daesh di media sosial, ditahan menurut ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga dua tahun.

Tangkapan dibuat di ketika Daesh cuba menubuhkan pangkalan di Asia Tenggara.

Seorang guru agama, Abu Thalha Samad, juga ditahan menurut akta itu kerana menjadi anggota Jemaah Islamiyah (JI). - AFP

315 dibaca
Berita Harian X