Isnin, 13 November 2017 | 10:32am
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte (tengah) bersama pemimpin negara yang hadir dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Manila. - Foto REUTERS

Sidang Kemuncak ASEAN bermula

MANILA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula di Pusat Kebudayaan Filipina (CCP) di bandar raya Pasay dekat sini, pagi ini.

Upacara pembukaan dimulakan dengan ucapan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte selaku Pengerusi ASEAN.

Sidang kemuncak bertemakan 'Perkongsian Bagi Perubahan, Mendepani Cabaran Dunia', itu dihadiri semua 10 pemimpin ASEAN dan pemimpin rakan dialog dari Amerika Syarikat (AS), China, Russia, Jepun, India, Kanada, Australia, New Zealand dan Korea Selatan.

Antara yang hadir Presiden AS, Donald Trump; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe; Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull; Perdana Menteri Russia, Dmitry Medvedev; Perdana Menteri China, Li Keqiang; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.

Malaysia diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak , yang tiba di sini semalam bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Delegasi Malaysia mengiringi Najib di sidang kemuncak ASEAN kali ini termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada sidang kali ini, pemimpin ASEAN dijangka membincangkan pelaksanaan wawasan ASEAN 2025, hala tuju baharu dalam usaha rantau ini membina komuniti yang bersepadu, aman, stabil dan berdaya tahan.

Sidang juga akan memberi peluang kepada pemimpin negara anggota bertukar pandangan mengenai masa depan kerjasama rantau ini dan hubungannya dengan rantau luar.

Isu serantau dan antarabangsa seperti pertikaian di Laut China Selatan, konflik di Semenanjung Korea, keganasan dan kumpulan ekstrem serta ekonomi digital siber adalah topik utama yang akan dibincangkan.

Sidang Kemuncak ASEAN +1 juga akan diadakan dengan Malaysia berperanan sebagai negara penyelaras Dialog Perhubungan ASEAN-Amerika Syarikat.

AS melalui Presiden Trump dijangka berkongsi wawasan bagaimana untuk kekal memainkan peranan penting dalam kerjasama ekonomi di rantau ini selepas menarik diri dari pakatan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) baru-baru ini.

Malam tadi, semua pemimpin terbabit menghadiri makan malam gala sempena sambutan ulang tahun ASEAN ke-50.

427 dibaca
Berita Harian X