Isnin, 13 November 2017 | 1:05pm
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

Duterte sentuh isu Marawi

MANILA: Isu Marawi yang dikaitkan dengan kegiatan pengganas di selatan negara ini disentuh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, selaku Pengerusi ASEAN pada upacara pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

Duterte dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada rakan antarabangsa kerana memberi bantuan dalam isu Marawi.

"Rakan ASEAN menyediakan sokongan dengan menghantar bantuan kepada penduduk tempatan manakala yang lain memberi bantuan tidak ternilai serta sokongan terhadap kempen ketenteraan.

"Saya meminta maaf kerana melahirkan nada ucapan sebegini," katanya di hadapan pemimpin dunia di Pusat Kebudayaan Filipina (CCP) di bandar raya Pasay dekat sini, hari ini.

Pada 23 Oktober lalu, Duterte mengumumkan berakhirnya operasi ketenteraan lima bulan di Marawi yang dikuasai militan dikaitkan dengan Daesh, dalam konflik yang memusnahkan sebahagian besar pusat bandar dan menyebabkan 300,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Dalam operasi itu, militan warga Malaysia, Dr Mahmud Ahmadui, dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara tentera Filipina dengan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di bandar Marawi, Selatan Filipina, 19 Oktober lalu.

Duterte berkata, sidang dua hari itu adalah peluang terbaik untuk membincangkan isu serantau dan antarabangsa.

"Contohnya, keganasan dan keganasan melampau adalah ancaman kepada keamanan, kestabilan dan keselamatan wilayah kita kerana ancaman ini tiada sempadan," katanya.

572 dibaca
Berita Harian X