Rabu, 15 November 2017 | 12:38am
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, bercakap pada sidang akhbar selepas majlis penutup Sidang Kemuncak Ke-31 Pertubuhan Bangsa-bangsa Asia Tenggara (ASEAN) di Manila. - Foto AFP

Duterte selar PM Kanada isu kempen antidadah

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte menyelar Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau kerana menimbulkan persoalan mengenai kempen memerangi dadah di Filipina.

Isu mengenai dadah adalah topik yang dielakkan pemimpin lain termasuk Presiden Donald Trump ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir di sini, pada Selasa.

Dalam sidang media pada akhir persidangan, Duterte diminta memberi reaksi kepada tindakan Trudeau menimbulkan isu hak asasi manusia dan pembunuhan luar undang-undang dalam kempen antidadah.

"Saya katakan tidak akan memberi penjelasan. Ia adalah penghinaan peribadi dan rasmi.

"Saya cuma akan menjawab kepada rakyat Filipina. Saya tidak akan menjawab kepada pihak tidak berguna lain, terutama orang luar," katanya, walaupun tidak menyebut nama Trudeau.

Aktivis hak asasi manusia berharap pemimpin di sidang kemuncak itu termasuk Trump, akan membangkit isu ribuan pengguna dan pengedar dadah kecil-kecilan maut dalam kempen dilancarkan Duterte pada pertengahan 2016. - Reuters

610 dibaca
Berita Harian X