Rabu, 6 Disember 2017 | 2:25pm
MAHKAMAH Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun terhadap seorang lelaki berusia 62 tahun atas kesalahan memasang bom di sebuah hospital di Bangkok sehingga mencederakan 21 orang.- Foto AP

Penjara 27 tahun pasang bom di hospital

BANGKOK: Mahkamah Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun terhadap seorang lelaki berusia 62 tahun atas kesalahan memasang bom di sebuah hospital di Bangkok sehingga mencederakan 21 orang.

Letupan itu berlaku di Hospital Phramongkutklao di Bangkok pada Mei lalu ketika sambutan ulang tahun ketiga rampasan kuasa tentera pada 2014. Hospital itu popular di kalangan tentera, ahli keluarga mereka serta pegawai tentera bersara.

Polis menahan Watana Pumret, seorang kakitangan kerajaan bersara selepas letupan dan dia mengaku memasang bom itu kerana amat membenci tentera.

"Daripada bukti kami percaya tertuduh melakukan kesalahan ini dan dia mengaku," kata seorang hakim.

Mahkamah di Thailand tidak mendedahkan nama hakim kecuali dalam kes berprofil tinggi tertentu.

Watana dilihat menangis selepas keputusan itu, dia memeluk isteri dan enggan menjawab soalan pemberita, kata wartawan Reuters di mahkamah. Cubaan menghubungi peguam Watana juga gagal.

Tentera Thailand melancarkan rampasan kuasa pada Mei 2014, selepas tunjuk perasaan selama berbulan-bulan sehingga menjejaskan ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.

Tentera sebelum ini berjanji untuk menyatukan negara dan mengembalikan kestabilan, namun pengkritik mendakwa ia enggan melepaskan kuasa. - Reuters

421 dibaca
Berita Harian X