Jumaat, 5 Januari 2018 | 10:14pm
PIHAK berkuasa Thailand melarang penggunaan kaedah laser bagi rawatan pemutihan kulit alat kelamin yang kini menjadi kegilaan dalam kalangan remaja di negara itu.- Foto AFP

Putihkan zakar, Thailand larang guna laser

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand melarang penggunaan kaedah laser bagi rawatan pemutihan kulit alat kelamin yang kini menjadi kegilaan dalam kalangan remaja di negara itu.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Dr Thongchai Keeratihuttayakorn, berkata rawatan itu mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

"Kulit di bahagian alat sulit adalah sensitif. Rawatan laser boleh menyebabkan iritasi, alergi dan keradangan.

"Apa akan jadi jika kulit anda menjadi berbintik-bintik," beliau dipetik oleh media tempatan hari ini.

Beliau akan meminta Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) negara itu memeriksa peralatan yang digunakan dalam perkhidmatan rawatan laser dan sama ada ia diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan sebelum dilaksanakan.

Menurut Keeratihuttayakorn, penyedia perkhidmatan itu berdepan hukuman jika peralatan yang digunakan dalam rawatan tidak mendapat kelulusan sewajarnya daripada pihak berkuasa berkaitan.

Beliau mengulas laporan media mengenai trend terkini dalam kalangan remaja lelaki di Thailand menggunakan kaedah rawatan laser untuk mencerahkan kulit alat sulit mereka.

Menurut sebuah hospital yang menawarkan perkhidmatan itu, kira-kita 100 remaja lelaki datang ke hospital setiap bulan untuk menjalani rawatan pemutihan menggunakan laser yang kosnya ialah kira-kira AS$650 untuk lima sesi rawatan. - BERNAMA

4212 dibaca
Berita Harian X