Jumaat, 12 Januari 2018 | 1:25am

Enam tarantula ditemui di Tuas, 92 di rumah

SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura menemui enam labah-labah hidup jenis tarantula di dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura di pusat pemeriksaan Tuas pada 4 Januari.

Dalam kenyataan hari ini, Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata labah-labah itu, yang masing-masing diletakkan di dalam bekas berasingan dan diisi di dalam beg berkenaan, diletakkan di bahagian penumpang belakang kereta dipandu seorang lelaki Singapura berusia 33 tahun.

Kes itu dirujuk kepada Pihak Berkuasa Agri-Makanan & Veterinar (AVA) untuk siasatan, katanya.

Menurut kenyataan itu, dalam pemeriksaan susulan di kediaman lelaki berkenaan, AVA merampas 92 lagi tarantula.

Tarantula dilarang daripada dipelihara di republik itu.

Beberapa spesies tarantula juga dilindungi di bawah Lampiran II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Liar Fauna atau Flora (CITES) dan memerlukan permit CITES.

Kes itu sedang disiasat dan labah-labah berkenaan diletakkan di bawah jagaan Wildlife Reserves Singapore.

- BERNAMA

4005 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »