Sabtu, 10 March 2018 | 9:27pm
AKTIVIS anti-junta Thailand semasa perhimpunan pro-demokrasi di sebuah universiti di Bangkok. - Foto AFP

Ratusan hadiri bantahan antijunta Thailand

BANGKOK: Ratusan penduduk Thailand prodemokrasi berkumpul hari ini di ibu kota negara itu bagi membantah pemerintah junta dengan baju T, sepanduk dan ucapan.

Aktivis juga semakin lantang dalam menentang larangan mengadakan bantahan.

Rejim tentera mengawal ketat pergerakan pembangkang sejak rampasan kuasa 2014 dengan mengharamkan perhimpunan lebih lima orang dan membawa aktivis ke mahkamah.

Namun ketidakpuasan hati terhadap kepemimpinan tentera semakin memuncak sejak penangguhan terbaru pilihan raya, yang kini ditetapkan pada Februari 2019.

Dalam satu daripada siri bantahan, kira-kira 500 rakyat Thailand menghadiri perhimpunan ala perkelahan yang diadakan di padang universiti di Bangkok hari ini.

Ketika penganjur mengkritik pemerintahan kuku besi tentera menggunakan pembesar suara, vendor mengagihkan makanan percuma dan menjual baju T dengan rujukan kepada siri skandal rasuah yang membantu menyemarakkan bantahan.

Satu baju memaparkan muka harimau bintang hitam, haiwan yang menjadi simbol ketidaksamaan dan rasuah sejak seorang hartawan pembinaan dikesan memburu mamalia ganas itu di pusat perlindungan hidupan liar Februari lalu.

Dalam rujukan satu lagi skandal berprofil tinggi, aktivis veteran, Ekachai Hongkangwan, muncul memakai ves dihiasi jam tangan kertas, sindiran kepada pemimpin nombor dua junta, yang berhadapan siasatan rasuah selepas beliau dikesan memakai puluhan jam tangan mewah yang tidak diisytiharkan. - AFP

517 dibaca
Berita Harian X