Ahad, 11 March 2018 | 9:44pm
ASKAR Filipina berkawal bersebelahan kereta perisai di pusat pemeriksaan sepanjang lebuh raya berdekatan lokasi pertempuran di antara tentera kerajaan dan militan di bandar Datu Saudi Ampatuan. - Foto AFP

44 militan maut diserang tentera

MANILA: Sekurang-kurangnya 44 militan pro-Daesh terbunuh dan 26 lagi cedera, selepas tentera Filipina menyerang kedudukan dikawal pemberontak di selatan wilayah Maguindanao, kata tentera hari ini.

Pertempuran membabitkan 50 ahli Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) itu bermula di sebuah kampung pedalaman di Datu Saudi Ampatuan dari pagi kelmarin sehingga semalam, kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Gerry Besana.

Dalam kenyataan berasingan, tentera berkata, seorang anggotanya cedera ringan.

Besana berkata, jumlah ahli BIFF yang maut dan cedera itu berdasarkan maklumat risikan. Namun, tentera tidak mengambil mayat musuh, katanya.

Beliau berkata, tentera melancarkan serangan

artileri dengan sokongan udara, apabila jumlah pejuang BIFF meningkat kepada kira-kira 100 orang ketika pertempuran.

Tentera Filipina menyenaraikan BIFF yang dijangka mempunyai 300 ahli sebagai pertubuhan pengganas bersama Abu Sayyaf dan beberapa kumpulan Maute.

"Tujuh puluh militan BIFF terbunuh dan cedera, kita masih memburu baki 200 ahli lagi," kata Besana sambil menambah pertempuran itu menyebabkan 500 keluarga terpaksa berpindah. - Reuters

885 dibaca
Berita Harian X