Ahad, 15 April 2018 | 7:04pm
PEGAWAI imigresen Myanmar menyerahkan dokumen pengenalan kepada keluarga Rohingya di kem pelarian bandar Taungpyoletwei di Maungdaw berhampiran sempadan Bangladesh.- Foto AFP

Keluarga Rohingya pertama ditempatkan semula

YANGON: Kerajaan Myanmar menempatkan semula keluarga Rohingya pertama daripada 700,000 pelarian di Bangladesh dalam pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keadaan masih belum cukup selamat untuk mereka kembali.

Menurut kenyataan kerajaan Myanmar di Facebook rasminya lewat malam, lima sekeluarga itu pulang ke kem penempatan semula Taungpyoletwei di Rakhine, pagi semalam.

Ia turut memuat naik gambar seorang lelaki, dua wanita serta budak perempuan dan lelaki sedang menerima kad pengenalan selain melalui pemeriksaan kesihatan.

Pihak berkuasa melakukan proses menentukan sama ada mereka pernah tinggal di situ selain memberikan Kad Pengesahan Kebangsaan, sejenis dokumen pengenalan diri yang tidak mengiktiraf kerakyatan mereka sepenuhnya. Ia ditolak pemimpin Rohingya yang mahukan hak penuh untuk golongan itu.

PBB dan kumpulan hak asasi lain sebelum ini memberi amaran penghantaran pulang Rohingya tidak patut dilakukan kerana Myanmar masih belum menyelesaikan isu diskriminasi serta penindasan golongan minoriti itu yang berlaku sejak berdekad-dekad lalu. - AFP

262 dibaca
Berita Harian X