Selasa, 17 April 2018 | 9:21pm
MYANMAR mengumumkan pengampunan kepada lebih 8,500 banduan, termasuk kira-kira 36 individu yang dipenjara sebagai tahanan politik dalam program pengampunan tahunan. - Foto Reuters

8,500 banduan diberi pengampunan di Myanmar

YANGON: Myanmar mengumumkan pengampunan kepada lebih 8,500 banduan, termasuk kira-kira 36 individu yang dipenjara sebagai tahanan politik dalam program pengampunan tahunan, sempena sambutan ulang tahun tradisi negara itu.

Presiden Win Myint yang mengambil alih pentadbiran negara bulan lalu, berkata pengampunan diberikan atas dasar kemanusiaan sempena pesta Thingyan, iaitu sambutan ulang tahun mengikut agama Buddha.

Menurut data yang dimuat naik di laman Facebook oleh jurucakap kerajaan, Zaw Htay, antara banduan yang diberi pengampunan, termasuk pesalah kes penyalahgunaan dadah, rakyat asing (50), dan tahanan politik (36).

Ribuan tahanan sudah dibebaskan dari penjara oleh Kerajaan Myanmar sejak tentera junta menyerahkan kuasa pada 2011, selepas memerintah secara kejam selama lima dekad.

Sementara, ratusan tahanan politik dibebaskan sebaik sahaja kerajaan pimpinan bekas aktivis demokrasi, Aung San Suu Kyi memerintah negara itu pada 2016, selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya. - AFP

170 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »