Isnin, 17 Julai 2017 | 11:55pm
JUMLAH korban banjir di seluruh India meningkat kepada 76 orang, berbanding lapan yang dilaporkan maut. - Foto AFP

76 korban banjir di India

NEW DELHI: Jumlah korban banjir di seluruh India meningkat kepada 76 orang, berbanding lapan yang dilaporkan maut dalam tempoh beberapa hari lalu.

Menurut pihak berkuasa, hujan lebat di Gujarat mengorbankan 11 mangsa sejak Sabtu lalu, ketika monsun melanda bahagian barat negeri itu.

"Kira-kira tujuh orang maut dalam tempoh 24 jam yang lalu, manakala sekurang-kurangnya empat lagi dilaporkan masih hilang," kata pegawai kanan kerajaan Gujarat, Pankaj Kumar kepada AFP.

Yang turut terjejas teruk, Arunachal Pradesh dan Assam di timur laut India, selain Odisha dan Bihar.

"Kira-kira 60 orang maut akibat banjir di Assam dan operasi bantuan kecemasan seluruh negeri sudah digerakkan sejak musim hujan bermula pada April.

"Seorang penduduk maut dalam tempoh 24 jam yang lalu, manakala ribuan lagi berjaya diselamatkan dan ditempatkan di 118 kem sementara yang dibina kerajaan di 21 kawasan yang terjejas," kata seorang pegawai negeri Assam.

Selain itu, beliau berkata, hujan semakin reda di beberapa bahagian di negeri itu, namun lima sungai masih berada di dalam paras bahaya. - AFP

Berita Harian X