Selasa, 12 September 2017 | 12:22pm

Seoul sambut baik sekatan PBB

SEOUL: Korea Selatan hari ini, mengalu-alukan resolusi baharu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengenakan sekatan tambahan terhadap Korea Utara, susulan ujian nuklear keenamnya.

Malah, jurucakap Rumah Biru berkata, satu-satu cara untuk Pyongyang mengelak daripada berdepan dengan lebih banyak sekatan dan masalah ekonomi ialah dengan menamatkan program nuklearnya.

"Korea Utara perlu sedar bahawa tindakan mencabar keamanan dunia akan memaksa lebih banyak sekatan peringkat antarabangsa dikenakan ke atas mereka," kata jurucakap Rumah Biru.

Sementara itu, di Tokyo, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, berkata langkah memberikan lebih banyak tekanan peringkat tertinggi terhadap Korea Utara mampu memaksa negara itu melaksanakan perubahan dasar.

Abe berkata, Jepun sedia memimpin dan bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa untuk memastikan berlakunya perubahan dasar oleh Pyongyang.

Semalam, Majlis Keselamatan PBB dengan sebulat suara meluluskan pelaksanaan sekatan baharu ke atas Korea Utara berikutan pelancaran ujian nuklear keenamnya pada 3 September lalu. - Reuters

378 dibaca
Berita Harian X