Selasa, 12 September 2017 | 6:23pm
PENDUDUK mengharungi banjir akibat dilanda ribut Maring di Manila. - Foto AFP

Tiga maut, 6 hilang Ribut Maring landa Filipina

MANILA: Sekurang-kurangnya tiga maut dan enam lagi dilaporkan hilang selepas sebahagian besar ibu negara ditenggelami air sehingga paras dada hari ini, akibat dilanda ribut sebelum itu.

Bencana terbabit menyebabkan sekolah, pejabat kerajaan dan perniagaan terpaksa ditutup buat sementara waktu.

Kebanyakan mangsa yang maut dan hilang itu adalah dari kalangan penduduk miskin dan tidak mempunyai pilihan selain daripada menjadikan zon berbahaya sebagai kediaman mereka.


KEADAAN banjir akibat dilanda ribut Maring di Manila. - Foto AFP

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam, Ronnie Mateo berkata, pihak berkuasa tempatan telah berulang kali memberikan amaran kepada penduduk berkenaan mengenai bahaya tanah runtuh di kawasan itu namun ia tidak dihiraukan.

"Mereka tetap berdegil untuk tinggal di situ walaupun sedar bahaya yang dihadapi, malah baru-baru ini dua adik beradik lelaki maut akibat tanah runtuh di kawasan berkenaan," katanya.

Antara yang maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang lemas di sebuah sungai di pinggir Manila.

Ribut dikenali sebagai 'Maring' itu melanda pekan Mauban di timur Filipina, sebelum bergerak ke timur laut dan melintasi Pulau Luzon. - AFP

401 dibaca
Berita Harian X