Jumaat, 13 Oktober 2017 | 7:06am
GEMPA bumi hari ini merekodkan kekuatan 2.7 magnitud dan berlaku pada kedalaman tiga kilometer di utara wilayah Hamgyong. - Foto hiasan

Gempa bumi 2.7 magnitud gegar Korea Utara

SEOUL: Gempa bumi kecil menggegarkan kawasan berhampiran lapangan ujian nuklear Korea Utara, namun ia seolah-olah bukan buatan manusia, kata agensi cuaca Korea Selatan hari ini.

Insiden itu adalah perkembangan terbaharu di Korea Utara, selepas Pyongyang menjalankan ujian nuklear keenam dan terbesarnya, awal September lalu.

Gempa bumi hari ini merekodkan kekuatan 2.7 magnitud dan berlaku pada kedalaman tiga kilometer di utara wilayah Hamgyong berhampiran lapangan ujian nuklear Punggye-ri di Korea Utara, kata Pentadbir Meteorologi Korea.

Peninjau Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa bumi sekuat 2.9 magnitud pada kedalaman lima kilometer dan menambah ia tidak dapat menentukan sama ada ia semula jadi atau buatan manusia.

Menurut USGS, gempa bumi itu adalah gegaran susulan selepas ujian nuklear keenam Korea Utara pada 3 September lalu yang mencetuskan gempa bumi 6.3 magnitud.

Ini menyebabkan ramai pakar dan pemerhati mengesyaki ujian nuklear terbaharu terbabit menjadi punca kawasan pergunungan tidak stabil. - Reuters

1242 dibaca
Berita Harian X