Selasa, 14 November 2017 | 12:19am

Israel tegah MP Perancis lawat pemimpin Palestin

BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel, semalam berkata mereka akan menghalang kemasukan sekumpulan ahli politik Perancis ke wilayah itu untuk melawat pemimpin Palestin yang dipenjarakan, Marwan Barghouti.

Keputusan itu sebahagian usaha kontroversi rejim Zionis untuk melarang penyokong tindakan memulaukan wilayah Yahudi berkenaan berhubung pencerobohan ke atas Palestin.

Menteri Dalam Negeri dan Menteri Keselamatan Awam Israel, dalam kenyataan bersama menyatakan delegasi itu 'tidak akan dapat terbang langsung'.

Ahli politik Parti Komunis Perancis dan parti berhaluan kiri, Unbowed, termasuk empat anggota Parlimen, berkata mereka bercadang melawat Israel dan wilayah Palestin bermula 18 hingga 23 November ini.

Delegasi itu berharap dapat bertemu Barghouti, pemimpin terkenal Palestin dan banduan yang dikenakan lima hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh berhubung peranannya dalam Intifada kedua pada 2000 hingga 2005.

Penyokong berkata, beliau dipenjarakan secara tidak adil oleh Israel dan menggelar Barghouti sebagai 'Mandela Palestin'. - AFP

445 dibaca
Berita Harian X