Selasa, 14 November 2017 | 6:55am
OPERASI mencari dan menyelamat masih diteruskan akibat gempa bumi di Iran. - Foto EPA

Operasi kesan mangsa gempa bumi di Iran diteruskan

ANKARA: Insiden gempa bumi di Iran semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 450 mangsa, ketika ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal menjelang ketibaan musim sejuk.

Pasukan penyelamat kini bertungkus lumus menjalankan operasi mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di beberapa bandar dan perkampungan yang terletak di kawasan pergunungan di barat wilayah Kermanshah, di sempadan Iraq.

Stesen televisyen Iran, Press TV melaporkan lebih 450 mangsa terbunuh, manakala 7,000 lagi cedera dalam gempa bumi berukuran 7.3 magnitud itu.

Pihak berkuasa tempatan meramalkan jumlah kematian bakal meningkat memandangkan pasukan mencari dan menyelamat sudah berjaya sampai ke kawasan terpencil yang dilanda gempa bumi itu.

Menurut media Iran, gempa bumi berkenaan turut dirasai di 14 wilayah lain di Iran, yang turut menyebabkan kejadian tanah runtuh hingga menyukarkan operasi mencari dan menyelamat. - Reuters

380 dibaca
Berita Harian X