Selasa, 14 November 2017 | 7:04pm
Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani.

Kami lebih baik tanpa Arab Saudi, UAE - Qatar

DOHA: Selepas beberapa bulan berbalah yang menyaksikan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memutuskan hubungan dengan Qatar, emir negara itu, hari ini berkata negaranya 'seribu kali lebih baik' tanpa kedua-dua jirannya itu.

Dalam ucapan kepada Majlis Syura, iaitu Dewan Negara, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, berkata bagaimanapun kerajaannya merangka pelan kecemasan kerana menjangka perbalahan politik dengan negara jirannya dan bekas sekutu itu akan berpanjangan.

"Kami tidak takut dengan pemulauan negara berkenaan terhadap kami, kami seribu kali lebih baik tanpa mereka.

"Namun kami tetap berwaspada," katanya kepada anggota majlis dan diplomat asing di Doha.

Sheikh Tamim berkata, kerajaannya berusaha memperkenalkan projek keselamatan makanan dan memberikan perhatian khas kepada air ketika melihat masa depan tanpa sekutu Arabnya itu.

Iran, Turki dan baru-baru ini, Sepanyol, tampil membantu Qatar mengimport makanan susulan pemulauan dilakukan empat negara Arab.

Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir, Jun lalu mengumumkan memutuskan hubungan dengan Qatar, menutup satu-satunya sempadan darat dengan negara itu.

Mereka menuduh kerajaan Qatar menyokong militan dan berhubung rapat dengan Iran.

Qatar menafikan tuduhan itu, mendakwa ia adalah serangan terhadap kedaulatannya. - AFP

1977 dibaca
Berita Harian X