Selasa, 14 November 2017 | 10:30pm
GAMBAR fail, Perdana Menteri Lubnan, Saad al-Hariri. - Foto REUTERS

'Saya akan pulang' - Hariri

BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan, Saad al-Hariri yang mengumumkan peletakan jawatannya 4 November lalu, semalam berkata beliau akan pulang ke Lubnan dalam masa dua hari lagi.

Menulis di Twitter, Hariri menggesa rakyat Lubnan bertenang dan berkata keluarganya akan kekal di Arab Saudi, menggelar ia sebagai 'negara mereka'.

Peletakan jawatan Hariri ketika berada di Arab Saudi meletakkan Lubnan dalam krisis politik.

Pegawai atasan kerajaan dan ahli politik kanan yang rapat dengan Hariri percaya Arab Saudi memaksa beliau berundur dan menahannya tanpa kerelaaan sejak itu, walaupun dinafikan oleh Hariri sendiri dan Riyadh.

Hariri menyatakan kebimbangan dibunuh dan menuduh Iran serta Hizbullah mencetuskan sengketa di dunia Arab dalam ucapan peletakan jawatannya.

Beliau yang memberikan ucapan umum pertamanya kelmarin, berkata dalam temubual di Riyadh, merancang pulang ke Lubnan dalam masa beberapa hari untuk mengesahkan peletakan jawatannya.

Presiden Lubnan, Michel Aoun yang menyatakan beliau percaya Riyadh mengehadkan kebebasan Hariri, enggan menerima peletakan jawatan itu sehingga Hariri kembali dari Arab Saudi. - Reuters

426 dibaca
Berita Harian X