Rabu, 15 November 2017 | 12:08am
Bangunan di Old Delhi yang disembur cat dengan mural berwarna-warni besar.

Puma dituduh rosakkan bangunan bersejarah di India

NEW DELHI: Jenama barangan sukan terkemuka dunia, Puma, hari ini dituduh merosakkan seni bina abad ke-17 di kawasan bersejarah di ibu kota India sebagai sebahagian aksi iklan untuk mempromosikan rangkaian kasut baru.

Bahagian depan beberapa bangunan di Old Delhi disembur cat dengan mural berwarna-warni besar untuk kempen kasut yang dikatakan Puma 'merakamkan debu di jalan India' di laman webnya.

Namun aksi itu, yang dinamakan 'Suede Gully' sempena bahan digunakan untuk kasut dan jalan raya dalam bahasa Hindi, menaikkan kemarahan aktivis alam sekitar yang menuduh Puma melakukan vandalisme terhadap penginapan berusia beberapa abad yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan.

"Ia kawasan warisan. Anda tidak boleh pergi ke situ dan cat apa yang anda suka. Kerosakan kekal dilakukan kepada batu pasir yang diukir, plaster batu kapur dan bata Lahori.

"Mereka yang membuat dan meluluskan iklan itu, mereka yang melihat ketika ia dilakukan, semuanya bertanggungjawab di atas tindakan tidak sensitif ini," kata jurucakap Dana Kebangsaan India bagi Warisan Seni dan Budaya, Swapna Liddle.

Sementara itu Puma, dalam kenyataan berkata ia tidak menyedari bangunan berkenaan mempunyai nilai warisan dan berjanji memulihkan ia kembali kepada keadaan asal.

"Pemilik tidak menyedari hartanahnya dilindungi sebagai hartanah warisan dan kami juga tidak diberitahu," kata jurucakap syarikat itu. - AFP

627 dibaca
Berita Harian X