Rabu, 15 November 2017 | 7:27am
PRESIDEN Iran, Hassan Rouhani berucap ketika melawat kawasan gempa bumi di Sarpol Zahab, Kermanshah. - Foto AFP

Iran bantu mangsa gempa bumi

SARPOL ZAHAB: Presiden Iran, Hassan Rouhani, memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan kepada semua mangsa gempa bumi bermagnitud 7.3 di sempadan Iran-Iraq, Ahad lalu.

Beliau yang tiba di Kermanshah dengan menaiki helikopter turut berjanji untuk meningkatkan usaha membantu mangsa yang kehilangan kediaman masing-masing.

"Saya beri jaminan kepada semua mangsa bahawa kerajaan sudah mengerah segala usaha untuk menangani masalah yang timbul secepat mungkin," katanya.

Hassan berkata, semua bantuan akan disalurkan menerusi Yayasan Perumahan, iaitu dana amanah yang berperanan penting dalam ekonomi Iran.

Sementara itu, Ketua Pengawal Revolusi, Mejar Jeneral Mohammad Ali Jafari, berkata banyak bangunan lama musnah dalam insiden gempa bumi itu.

"Bangunan yang baru dibina tidak terjejas langsung tetapi kediaman uzur musnah sepenuhnya," katanya kepada stesen media tempatan.

Gempa bumi itu mengakibatkan kira-kira 15,500 kediaman musnah, manakala 15,000 lagi mengalami kerosakan teruk.

ia juga menyebabkan tujuh bandar dan hampir 2,000 kawasan perkampungan terjejas. - AFP

326 dibaca
Berita Harian X