Ahad, 3 Disember 2017 | 11:49pm
PRESIDEN Palestin, Mahmud Abbas. - Foto Reuters

Abbas usaha raih sokongan halang Trump

RAMALLAH: Pemimpin Palestin bercadang mengadakan perhimpunan hari ini bagi meraih sokongan diplomatik memujuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump supaya tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas membuat pelbagai panggilan kepada pemimpin dunia 'bagi menjelaskan bahaya sebarang keputusan memindahkan Kedutaan ke Baitulmaqdis atau mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel,' kata penasihat diplomatik Abbas, Majdi al-Khalidi kepada AFP.

Panggilannya setakat ini termasuk kepada pemimpin Arab, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Erdogan memberitahu Abbas, sebuah negara bebas Palestin perlu memiliki Timur Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya, lapor agensi berita Turki, Anadolu.

Abbas juga dikatakan memohon sidang kemuncak tergempar Kerjasama Negara Islam (OIC) dan Liga Arab bagi membincangkan isu berkenaan.

Khalidi berkata, Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat dan ketua perisikan Pihak Berkuasa Palestin (PA), Majed Farraj sedang berhubung dengan Washington.

Katanya, Abbas memberi amaran 'akibat mengambil keputusan seperti itu yang akan mengancam usaha proses politik dan perdamaian.'

Trump dijangka membuat keputusan esok sama ada memindahkan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, keputusan yang akan menukar dasar sekian lama dan bertentangan dengan kuasa dunia lain.

Sejak 1995, undang-undang AS menyatakan Kedutaan Washington di Israel perlu dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sejajar dengan hasrat kerajaan Zionis itu.

Namun setiap enam bulan sejak undang-undang diluluskan, Presiden AS bersilih ganti menandatangani satu pelepasan untuk menggantung pertukaran yang akan menaikkan kemarahan penduduk Palestin dan penyokong Arab mereka.

Trump menandatangani pelepasan itu sekali selepas berikrar kepada penyokong Yahudi-AS bahawa beliau akan menjadi presiden yang pada akhirnya membuat pertukaran itu kekal.

Tarikh akhir berikutnya adalah Isnin dan sesetengah laporan di Washington mengatakan Trump merancang ucapan berhubung isu itu minggu depan sebelum Naib Presiden Mike Pence melakukan perjalanan ke Baitulmaqdis.

Rumah Putih menyifatkan laporan beliau mungkin enggan menandatangani pelepasan itu sebagai terlalu awal, namun sumber memberitahu AFP, mereka menjangka Trump secara rasmi mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. -AFP

2186 dibaca
Berita Harian X