Khamis, 28 Disember 2017 | 5:20pm

Penjara kalau ceraikan isteri talak tiga

NEW DELHI: Kerajaan India hari ini memperkenalkan rang undang-undang bertujuan memenjarakan lelaki Muslim yang menceraikan isteri mereka dengan talak tiga atau dianggap sebagai cerai segera di negara itu berikutan ramai wanita mengadu tindakan terbabit melanggar hak mereka.

Pada Ogos lalu, Mahkamah Agung mendapati undang-undang yang membenarkan lelaki Muslim menceraikan isteri mereka hanya dengan menyebut perkataan talak sebanyak tiga kali sebagai bertentangan dengan Perlembagaan.

Kumpulan wanita Muslim memfailkan petisyen kepada mahkamah dengan berhujah, amalan suami menceraikan mereka dengan talak tiga, termasuk menerusi aplikasi Skype dan Whatsapp bukan sahaja melanggar hak mereka tetapi menyebabkan kehidupan ramai wanita dalam keadaan terdesak.

"Hanya undang-undang boleh mengharamkan talak tiga, kita perlu menguatkuasakan prosedur undang-undang untuk memberikan elaun dan melindungi hak penjagaan anak," kata Menteri Undang-Undang, Ravi Shankar Prasad.

Jika rang undang-undang itu diluluskan, ia akan menjadikan amalan penceraian itu tidak boleh diikat jamin dan mungkin membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun. - Reuters

1645 dibaca
Berita Harian X