Khamis, 11 Januari 2018 | 9:58pm
KHANSA orangutan betina yang dilahirkan April tahun lalu. - Foto Reuters

Zoo Singapura perkenal 500 penghuni baru

SINGAPURA: Zoo Singapura, hari ini mempamerkan kepada umum 500 penghuni baru yang dilahirkan pada 2017, mewakili 145 spesis, dengan lebih satu perempat daripadanya diancam kepupusan.

Abina yang berusia dua bulan iaitu badak air jenis kecil ke-24 berjaya dilahirkan di zoo berkenaan, berjalan di gigi air berhampiran kaki ibunya, menggembirakan pelajar yang melawat zoo itu.

"Badak air kecil ini adalah satu daripada spesis yang berjaya dibiakkan zoo ini secara konsisten sejak beberapa tahun lalu," kata timbalan ketua eksekutif dan ketua pegawai sains kehidupan di Pemuliharaan Hidupan Liar Singapura, Cheng Wen-Haur.

Ada kira-kira 2,000 haiwan yang masih ada dalam hutan dan di zoo, tambahnya.

Ia turut mempamerkan dua bayi cicak biru yang menetas beberapa hari sebelum Krismas.

Spesis terancam itu cuma boleh ditemui dalam kawasan seluas lapan kilometer persegi di Tanzania.

Cheng berkata, kemampuan membiakkannya amat berharga, jika ia pupus di luar.

Zoo berkenaan turut memperkenalkan Khansa, orangutan betina yang terancam teruk, dilahirkan April tahun lalu, selain anak beruang kecil Asia yang baru dilahirkan, satu daripadanya dengan kaki yang terpaksa dipotong. - Reuters

86 dibaca
Berita Harian X