Khamis, 11 Januari 2018 | 10:13pm
BEKAS Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly. - Foto Reuters

Mahkamah Mesir batal sabitan bekas menteri

KAHERAH: Mahkamah Mesir hari ini membatalkan sabitan dan hukuman penjara dakwaan rasuah terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly, dan memerintahkan perbicaraan semula, menurut sumber perundangan.

Mahkamah jenayah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap Adly yang pernah berkhidmat di bawah bekas Presiden Hosni Mubarak, selepas disabitkan atas dakwaan menyalahgunakan dana awam.

Mahkamah tertinggi Mesir membatalkan sabitan terhadap Adly berikutan kesilapan prosedur dan memerintahkan pembicaraan semula di mahkamah jenayah berlainan.

Peguamnya, Farid el-Deeb, memberitahu Reuters bahawa keputusan itu membenarkan Adly yang tidak menghadiri sidang itu, untuk dibebaskan tanpa prosedur undang-undang lanjut.

Satu salinan keputusan pada April lalu yang diperoleh Reuters menunjukkan bahawa Adly dan dua pegawai kementerian lain diperintahkan untuk mengembalikan sejumlah 1.95 bilion pound Mesir (RM437.7 juta) dan didenda dengan jumlah yang sama.

Pada 2014, beliau bersama Mubarak dan enam pembantu lain, turut dibebaskan daripada tuduhan yang berkaitan dengan pembunuhan penunjuk perasaan ketika pemberontakan 'Arab Spring' pada 2011. - Reuters

108 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »