Jumaat, 12 Januari 2018 | 12:07am

Arab Saudi ambil alih kawalan Binladin Group

RIYADH/DUBAI: Arab Saudi mengambil alih kawalan pengurusan syarikat pembinaan, Saudi Binladin Group dan membincangkan kemungkinan memindahkan sesetengah aset gergasi pembinaan itu kepada kerajaan.

Tindakan itu dilakukan ketika pengerusi dan anggota keluarganya ditahan, kata sumber.

Binladin, yang pernah memiliki lebih 100,000 kakitangan, adalah pembina terbesar di negara itu dan penting kepada Riyadh untuk meneruskan projek hartanah, industri dan pelancongan bagi mempelbagaikan ekonomi selepas minyak.

Bagaimanapun, kumpulan itu terjejas teruk dari segi kewangan sejak beberapa tahun lalu akibat kemerosotan industri pembinaan dan sekatan kepada kontrak baharu susulan nahas kren yang meragut 107 orang di Masjidilharam pada 2015.

Susulan kejadian itu, ia terpaksa memecat ribuan kakitangannya.

Tindakan Riyadh mengambil alih kawalan itu bertujuan memastikan kumpulan terus menyumbang kepada pelan pembangunan Arab Saudi, kata sumber perbankan dan industri.

Kerajaan menahan sejumlah besar pegawai kanan dan ahli perniagaan Oktober lalu sebagai sebahagian tindakan pembersihan ke atas rasuah.

Sumber berkata, pengerusi kumpulan Binladin, Bakr bin Laden dan beberapa anggota keluarganya turut ditahan.

Pihak berkuasa Arab Saudi cuba merundingkan penyelesaian dengan tahanan, mengatakan mereka menyasar mengutip dana kira-kira AS$100 bilion (RM398.50 bilion) yang pada hakikatnya milik kerajaan.

Sumber berkata, rundingan berhubung masa depan Binladin adalah sebahagian daripada proses berkenaan.

Sejak penahanan anggota keluarga bin Laden, Kementerian Kewangan membentuk satu jawatankuasa enam anggota termasuk tiga wakil kerajaan bagi meneliti perniagaan kumpulan dan menguruskan hubungan dengan pembekal dan kontraktor, kata sumber. - Reuters

759 dibaca
Berita Harian X