Selasa, 23 Januari 2018 | 11:58pm
Pesawat penumpang Emiriah Arab Bersatu.

Tentera Udara UAE diarah tidak tingkatkan perbalahan penerbangan

ABU DHABI: Pasukan udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) diarah 'tidak meningkatkan' perbalahan penerbangan sivil dengan Qatar, kata pegawai tentera hari ini.

"Sejak awal provokasi Qatar, kami diberi arahan daripada pegawai atasan tidak meningkatkan dalam perkara ini sebagai sebahagian komitmen kami kepada prinsip keselamatan dan keamanan serantau, dan juga keselamatan pesawat dan penumpang," kata Brigadier Jeneral Hilal Sayeed al-Qubaisi kepada sidang akhbar di Abu Dhabi.

UAE menuduh jet pejuang Qatar memintas dua pesawat penumpangnya dalam penerbangan ke Bahrain seminggu lalu dan sejak itu itu memfailkan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

UAE berkata jet pejuang Qatar terbang pada jarak 1.2 kilometer antara dua pesawat yang menuju ke lapangan terbang antarabangsa Bahrain, mengundang penafian keras Doha.

Kedua-dua negara berbalah berhubung pelanggaran ruang udara sejak beberapa minggu ini, ketika krisis diplomatik di Teluk memasuki bulan kelapan.

Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan dengan Qatar Jun lalu berhubung dakwaan Doha mempunyai kaitan dengan pelampau Islam dan Iran yang berfahaman Syiah.

Qatar, yang menafikan tuduhan itu, dilarang menggunakan ruang udara empat negara berkenaan, walaupun pesawat UAE terus beroperasi di ruang udara Qatar. - AFP

438 dibaca
Berita Harian X