Selasa, 13 Februari 2018 | 11:59pm
Kanak-kanak Palestin menerima rawatan di sebuah hospital di Kota Gaza. - Foto AFP

Lebih 50 warga Palestin maut tunggu permit perubatan

BANDAR GAZA: Lebih 50 warga Palestin maut sementara menunggu visa untuk mendapatkan rawatan perubatan tahun lalu, dengan sebahagian saja permohonan diluluskan, lapor satu kajian semalam.

Sejumlah 54 warga Palestin mati ketika menunggu permit pada 2017, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Aktivis hak asasi menyifatkannya sebagai sistem birokrasi melampau yang menyekat hak rakyat Palestin.

WHO berkata ia tidak mempunyai jumlah perbandingan secara langsung untuk 2016, tetapi Al Mezan Centre for Human Rights berkata ia mencatatkan hanya beberapa puluh setahun pada tahun sebelumnya.

Israel memberi alasan bahawa pemeriksaan keselamatan yang ketat diperlukan bagi mereka yang datang dari Gaza, wilayah Palestin yang diperintah Hamas.

Penduduk Gaza memerlukan permit Israel untuk meninggalkan kawasan itu untuk ke Baitulmaqdis atau Tebing Barat untuk rawatan yang dibayar oleh Pihak Berkuasa Palestin, kerajaan Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Lebih daripada 25,000 permohonan perjalanan untuk rawatan pada 2017, hanya 54 peratus yang diluluskan dan berkesempatan untuk memenuhi janji temu mereka.

Ia menurun daripada 62 peratus tahun sebelumnya dan 92 peratus pada 2012, kata WHO. - AFP

211 dibaca
Berita Harian X