Isnin, 12 March 2018 | 10:30pm
SEJAK 18 Februari lalu, tentera Syria melancarkan serangan besar-besaran ke atas pembangkang di Timur Ghouta. - Foto AFP

Lebih 1,000 perlu pindah segera - PBB

BEIRUT: Lebih 1,000 penduduk, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, perlu dipindahkan segera untuk tujuan perubatan dari wilayah Timur Ghouta yang dikepung di Syria, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Beberapa bahagian di Ghouta yang ditawan puak penentang kini dikepung teruk tentera kerajaan yang menjadikan makanan dan ubat sukar dibawa masuk untuk kira-kira 400,000 penduduknya.

"Ada lebih 1,000 yang perlu dipindahkan segera untuk mendapatkan rawatan. Majoritinya wanita dan kanak-kanak," kata jurucakap pejabat penyelaras kemanusiaan PBB, OCHA, di Damsyik.

Menurut bilangan yang disediakan hari ini oleh OCHA, mereka termasuk lebih 77 kes yang perlu diberi keutamaan.

Sejak 18 Februari lalu, tentera Syria melancarkan serangan besar-besaran ke atas pembangkang di Timur Ghouta, kubu terakhir puak penentang di pinggir Damsyik.

OCHA berkata, 28 kemudahan kesihatan di Timur Ghouta menjadi sasaran dalam serangan, dan sembilan pekerja kesihatan maut.

Pembangkang juga membedil roket ke arah ibu kota negara itu.

Menurut OCHA, lima hospital dan 26 sekolah di Damsyik turut diserang. - AFP

456 dibaca
Berita Harian X