Isnin, 16 April 2018 | 5:10pm

Mahkamah putus jenazah wanita dikebumi cara Islam

DHAKA: Mahkamah Tinggi Bangladesh memutuskan wanita yang membunuh diri empat tahun lalu, beragama Islam dan jenazahnya boleh dikebumikan disamping kubur suaminya.

Keputusan mahkamah itu mengakhiri pertikaian undang-undang berprofil tinggi membabitkan perkahwinan berbeza agama.

Mahkamah menetapkan minggu lalu, Hosne Ara Lazu beragama Islam selepas mengahwini Humayun Farid Lazu pada 2013.

Bagaimanapun, keluarganya bertegas Hosne kembali kepada agama asalnya iaitu Hindu sebelum kematiannya.

Keluarga Hosne membantah perkahwinan antara mereka dan mendesak agar mereka berpisah.

Bapa Hosne pernah bertindak memfailkan aduan polis mengatakan anaknya diculik menantunya.

Humayun, 21, bertindak membunuh diri pada 2014 ketika pergolakan itu berlaku.

Pertikaian timbul selepas kematian isterinya yang berusia 18 tahun bertindak minum racun dua bulan selepas kematian Humayun.

Kes itu menjadi perhatian negara apabila keluarga Hosne mengheret perkara itu ke mahkamah untuk memutuskan bagaimana jenazahnya perlu diuruskan.

Keluarga Hosne menuntut agar jenazahnya diuruskan mengikut upacara Hindu manakala keluarga suaminya bertegas jenazah diuruskan mengikut cara Islam dan bersebelahan kubur suaminya.

Perkahwinan antara agama adalah sesuatu yang jarang berlaku dan menjadi kontroversi di negara majoriti Islam di Bangladesh dan kes itu ternyata mendapat perhatian seluruh negara. - AFP

961 dibaca
Berita Harian X