Isnin, 16 April 2018 | 6:13pm
PEGAWAI tinggi kanan di Kementerian Kewangan Jepun menafikan tuduhan melakukan pencabulan seks terhadap beberapa wartawan wanita. - Foto REUTERS

Pegawai kanan Jepun nafi cabul wartawan

TOKYO: Seorang pegawai tinggi kanan di Kementerian Kewangan Jepun menafikan tuduhan melakukan pencabulan seks terhadap beberapa wartawan wanita.

Junichi Fukuda berkata, beliau bakal menyaman majalah yang mula-mula melaporkan tuduhan itu.

Susulan tuduhan itu, kementerian meminta beberapa wartawan yang menuduh Fukuda tampil untuk memberi kerjasama dalam usaha menyiasat tuduhan itu.

Majalah Shukan Shincho minggu lalu melaporkan Fukuda bertindak mencabul beberapa wartawan wanita dan mendedahkan rakaman suara pegawai terbabit di sebuah kelab malam bersama seorang wartawan.

"Saya akan ikat tangan awak. Boleh saya sentuh buah dada awak. Boleh kita jalinkan hubungan, bajet sudah diluluskan", kata suara lelaki dalam rakaman itu.

Bagaimanapun, suara wartawan wanita yang tidak didedahkan namanya tidak kedengaran dalam rakaman itu dan identiti suara lelaki terbabit tidak dapat disahkan.

Pada masa sama, majalah terbabit mengesahkan, beberapa wanita yang masih belum dikenal pasti, turut menuduh Fukuda berkelakuan tidak senonoh, termasuk mahu mencium dan membawa mereka ke hotel.

Sementara itu, Fukuda dalam satu kenyataan hari ini, menerusi kementeriannya menafikan tuduhan itu.

"Saya tidak pernah berbual seperti itu dengan wartawan wanita. Saya kerap keluar makan bersama wartawan lelaki dan wanita selepas waktu kerja tetapi dari awal lagi saya tidak pernah mengadakan perbualan seperti yang dilaporkan majalah terbabit dengan mana-mana wartawan wanita," katanya.

Fukuda menyangkal beliau pernah melakukan pencabulan seksual dengan bercakap sedemikian hingga menyebabkan wartawan wanita tidak selesa.

Pada masa sama, beliau menegaskan tidak mempunyai hasrat untuk meletak jawatan dan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap majalah itu kerana memfitnah. - AFP

223 dibaca
Berita Harian X