Isnin, 16 April 2018 | 6:23pm

390 kes serangan senjata kimia direkod di Syria

THE HAGUE: Pertubuhan senjata kimia sedunia merekodkan lebih 390 insiden didakwa membabitkan penggunaan senjata kimia beracun di Syria sejak 2014.

Duta Britain ke Belanda, Peter Wilson berkata demikian pada mesyuarat Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), sekali gus menggesa negara anggota pertubuhan itu supaya mengambil tindakan bersama bagi menangani masalah itu.

Maklum balas itu dibuat pada sesi khas mesyuarat tertutup OPCW di sini, yang diadakan bagi membincangkan isu serangan di Douma, Syria pada 7 April lalu.

"Sudah tiba masanya untuk semua negara yang menganggotai Majlis Eksekutif ini untuk mengambil satu pendirian bersama.

"Ahli majlis ini mempunyai pelbagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

"Jika ahli majlis gagal bertindak terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu, ia akan membolehkan senjata kimia terus digunakan secara berleluasa di Syria dan lain-lain negara," kata Wilson.

Sementara itu, Moscow memberi jaminan untuk tidak campur tangan dalam misi OPCW bagi menyiasat insiden serangan senjata kimia di Douma.

"Russia mengesahkan komitmennya untuk memastikan keselamatan misi yang bakal dijalankan dan tidak akan campur tangan dalam siasatan berkenaan," kata Duta Russia ke Belanda menerusi Twitter.

Sementara itu, OPCW yang mempunyai 192 anggota, mengadakan mesyuarat majlis eksekutifnya hari ini, bagi membincangkan dakwaan penggunaan senjata kimia di Syria.

Majlis eksekutif OPCW ketika ini dipengerusikan oleh Duta Bangladesh ke Belanda, Sheikh Mohammed Belal dan mempunyai 41 negara anggota. - Reuters/AFP

222 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »