Selasa, 17 April 2018 | 9:42am
KEADAAN bangunan yang rosak di Douma. - Foto EPA-EFE

AS tuduh Russia cuba halang penyiasat antarabangsa

DAMSYIK: Amerika Syarikat, semalam menuduh Russia menghalang pemeriksa antarabangsa memasuki lokasi serangan gas di Syria dan berkata sama ada Moscow atau Syria mungkin sudah mencemarkan bukti.

Moscow menafikan dakwaan itu dan menyalahkan kelewatan itu di atas serangan peluru berpandu diketuai AS ke atas Syria bagi membalas dendam Sabtu lalu.

Perdana Menteri Britain, Theresa May dan Presiden Emmanuel Macron, berhadapan kritikan daripada pembangkang masing-masing berhubung keputusan mengambil bahagian dalam serangan udara.

Syria dan Russia menafikan dakwaan melepaskan gas beracun pada 7 April lalu ketika menyerang Douma, berakhir dengan kejayaan merampas semula kubu kuat terakhir puak penentang berhampiran Damsyik.

Pertubuhan bantuan berkata, puluhan lelaki, wanita dan kanak-kanak terbunuh.

Rakaman mangsa muda berbuih di mulut dan menangis kesakitan menjadikan perang di Syria, yang sudah meragut lebih setengah juta nyawa dalam masa tujuh tahun, kembali menjadi perhatian dunia.

Pemeriksa Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), mengunjungi Syria minggu lalu untuk memeriksa lokasi, tetapi masih tidak dapat masuk ke Douma, yang kini dikawal kerajaan selepas pengunduran pemberontak.

"Kami difahamkan Russia sudah melawat lokasi serangan.

"Kami bimbang ia mungkin sudah mencemarkan bukti dengan tujuan menyukarkan usaha OPCW melakukan siasatan berkesan," kata Duta AS, Kenneth Ward, dalam mesyuarat OPCW di The Hague semalam.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, menafikan Moscow mencemarkan bukti.

"Saya menjamin Russia tidak mencemari lokasi," katanya kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). - Reuters

261 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »