Selasa, 17 April 2018 | 2:36pm
MENDIANG Choi Eun-hee. - Foto AFP

Aktres pernah diculik Kim Jong Il, meninggal dunia

SEOUL: Aktres veteran Korea Selatan yang pernah diculik atas arahan pemimpin Utara, Kim Jong-Il ketika perang dingin dan dipaksa menghasilkan filem untuk rejim itu meninggal dunia pada usia 91 tahun, kata keluarganya.

Choi Eun-hee, aktres tersohor di selatan diculik perisik Korea Utara di Hong Kong pada 1978 atas permintaan pemimpinnya, Jong Il, seorang peminat tegar filem.

Difahamkan, Eun-hee berada di Hong Kong atas urusan sekolah seninya, diperdaya untuk menaiki sebuah bot oleh pemandu pelancong sebelum dipaksa pula menaiki sebuah kapal kargo yang menuju ke Korea Utara.

Beliau diberi ubat bius dan tidak diberi makan selama lapan hari sebelum tiba di Utara.

Suaminya Shin Sang-ok, seorang pengarah filem terkenal, dibawa ke Utara tidak lama kemudian, walaupun keadaan sebenar penculikan itu masih tidak jelas.

Jong Il, yang memerintah negara terpencil itu dari 1994 sehingga kematiannya pada 2011, berusaha keras menggunakan tawanannya untuk menghasilkan filem yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Eun-hee dan Sang-ok terperangkap di Utara selama lapan tahun, dan menghasilkan lebih daripada 10 filem bersama di bawah pemantauan Jong Il.

Pasangan itu berjaya melarikan diri ke kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Vienna ketika menghadiri festival filem Berlinale pada 1986. Selepas lebih sedekad mendapat perlindungan suaka politik di AS, pasangan itu kembali semula ke Korea Selatan pada 1999. - AFP

2857 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »