Selasa, 17 April 2018 | 4:10pm
40 penghuni di pusat tahanan imigresen mengadakan mogok lapar selepas seorang tahanan warga India membunuh diri, minggu lalu. - Foto Reuters

40 tahanan lancar mogok lapar di Jepun

TOKYO: Lebih 40 penghuni di pusat tahanan imigresen mengadakan mogok lapar selepas seorang tahanan warga India membunuh diri, minggu lalu.

Pihak berkuasa dan media tempatan melaporkan bahawa bantahan itu bermula sejak Ahad lalu, iaitu dua hari selepas warga India yang berusia dalam lingkungan 30-an, itu ditemui tergantung di bilik mandi di tengah Ibaraki, timur laut Tokyo.

Lelaki terbabit yang tidak didedahkan identitinya dilaporkan mengalami masalah kemurungan kerana berdepan tekanan berhubung status hukumannya.

"Kami mengandaikan semua tahanan itu mengadakan mogok lapar bagi mendapatkan perintah pembebasan sementara.

"Malah, kami percaya insiden bunuh diri itu menjadi punca tindakan mogok lapar berkenaan," kata seorang pegawai di pusat tahanan imigresen, Daisuke Akinaga kepada AFP.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kewarganegaraan tahanan yang mogok terbabit dan jumlah mereka yang enggan menerima makanan.

Namun, Kyodo News berkata, jumlah tahanan yang mogok lapar adalah melebihi 40 orang.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira 330 kini ditahan pusat tahanan imigresen berkenaan. - AFP

179 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »