Jumaat, 12 Oktober 2018 | 7:53am
ROKET Rusia Soyuz gagal dua minit sejurus berlepas dari sini di Kazakhstan. - Foto EPA

2 angkasawan terselamat, Soyuz gagal berlepas

KOSMODROM BAIKONUR: Seorang kosmonaut Russia dan angkasawan Amerika Syarikat (AS) terselamat semalam selepas kapal angkasa Soyuz ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) gagal dua minit sejurus berlepas dari sini di Kazakhstan, menjurus kepada pendaratan kecemasan dramatik.

Kru dua orang terdiri daripada kosmonaut Alexei Ovchinin dan rakyat AS, Nick Hague, mendarat dalam keadaan tidak cedera di padang rumput Kazakhstan ketika kru penyelamat bergegas ke kawasan itu, menurut Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik AS (NASA) serta agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos.

Kesilapan itu berlaku pada peringkat pertama dan kedua roket penggalak Russia yang terpisah sejurus dilancarkan dari kosmodrom era Soviet di sini.

Kapsul angkasa lepas Soyuz membawa Ovchinin dan Hague terpisah dari roket Russia yang tidak berfungsi dan menjunam sejauh 50 kilometer ke permukaan, dengan payung terjun membantu melambatkan kelajuannya, kata NASA.


PAKAR berkumpul berhampiran kapsul Soyuz yang membawa Nick Hague dan Alexei Ovchinin, selepas membuat pendaratan kecemasan. - Foto Reuters

Awan pasir menjulang ketika kapsul itu mendarat dalam apa yang digelar NASA penurunan cerun balistik 34 minit.

Video dari dalam kapsul itu menunjukkan dua angkasawan terbabit ketakutan ketika kegagalan berlaku dengan tangan dan kaki mereka tergapai-gapai. Ovchinin dapat didengar berkata, ‘Penerbangan agak pantas.’

Gambar dikeluarkan Roscosmos selepas usaha menyelamat menunjukkan dua lelaki terbabit tersenyum dan berehat di sofa di bandar berhampiran tapak pendaratan ketika menjalani ujian perubatan.

Gambar dihantar di Twitter oleh NASA menunjukkan Ovchinin dan Hague memeluk keluarga mereka selepas dipindahkan semula ke tapak Baikonur.

NASA bergantung kepada roket Russia untuk memindahkan angkasawan ke ISS oleh kerana AS menghentikan Program Angkasa Lepasnya pada 2011, walaupun agensi itu mengumumkan rancangan satu penerbangan ujian membawa dua angkasawan dalam roket komersial SpaceX bermula April tahun depan.

Kesilapan semalam, adalah masalah serius pertama berkaitan pelancaran dialami misi angkasa lepas Soyuz sejak 1983 apabila kru berjaya menyelamatkan diri sebelum letupan di tapak pelancaran. -Reuters

2445 dibaca
Berita Harian X