Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:10pm
PENYIASAT Russia sudah melancarkan siasatan terhadap kegagalan kapal angkasa Soyuz. - Foto Reuters

Russia lancar siasatan jenayah insiden kegagalan Soyuz

BAIKONUR: Penyiasat Russia sudah melancarkan siasatan terhadap kegagalan kapal angkasa Soyuz sejurus berlepas, dalam halangan terbesar terhadap industri angkasa lepas negara itu yang dilanda masalah.

Angkasawan Amerika Syarikat (AS), Nick Hague dan kosmonaut Russia, Aleksey Ovchinin terpaksa membuat pendaratan cemas selepas insiden itu semalam, namun diselamatkan tanpa kecederaan di Kazakhstan di sini.

Pihak berkuasa Russia berkata, mereka sedang melancarkan satu siasatan jenayah terhadap nahas itu, insiden pertama seumpamanya dalam penerbangan dikemudi dalam sejarah pasca-Soviet.

Industri angkasa lepas Russia mengalami pelbagai masalah sejak beberapa tahun lalu, termasuk kehilangan sejumlah satelit dan kapal angkasa.

Pihak berkuasa berkata, mereka akan menggantung pelancaran dikemudi susulan nahas terbabit.

“Sistem menyelamat kecemasan berhasil, kapal angkasa berupaya mendarat di Kazakhstan, kru masih hidup,” kata agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos dalam tweet.

“Kemalangan berkaitan penggalak, dua minit, 45 saat,” kata suara Ovchinin didengar berkata dengan tenang dalam rakaman langsung dari kosmodrom Kazakhstan di sini.

Insiden itu berlaku ketika roket terbabit melakukan perjalanan sejauh 7,500 kilometer sejam, hanya 119 saat sejurus berlepas, menurut Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik AS (NASA).

“Sejurus dilancarkan, berlaku kejanggalan dengan penggalak dan tujahan pelancaran dibatalkan, mengakibatkan pendaratan balistik kapal angkasa lepas,” kata NASA dalam satu kenyataan.

Penurunan itu agak menjunam daripada kebiasaan, bermaksud kru mengalami daya-G lebih besar, namun mereka bersedia senario itu dalam latihan, menurut pengulas dalam penstriman video langsung NASA berkaitan pelancaran. -AFP

734 dibaca
Berita Harian X