Sabtu, 9 September 2017 | 11:26am

Pegawai Jerman temui senarai 5,000 sasaran pengganas

BERLIN: Pegawai Jerman menemui senarai nama lebih 5,000 sasaran, termasuk lebih 100 ahli politik, dalam serbuan di rumah dan tempat kerja dua suspek pengganas di Mecklenburg-Vorpommern di timur Jerman minggu lalu, lapor akhbar Die Welt semalam.

Akhbar yang memetik sumber keselamatan itu berkata, salah seorang suspek bekas anggota polis yang sudah digantung kerja, dipercayai menggunakan komputer di pejabatnya untuk mencari alamat anggota parti pembangkang.

Pada 28 Ogos lalu, polis Jerman menyerbu rumah dan tempat kerja anggota polis berkenaan dan seorang lagi yang disyaki merancang untuk menangkap dan membunuh ahli politik kerana pandangan mereka berhubung dasar imigresen, kata pihak berkuasa.

Pejabat pendakwa persekutuan berkata, ketika kejadian, suspek yang bimbang dasar pelarian Jerman akan memusnahkan negara itu, mula menyimpan stok makanan dan peluru serta merancang serangan.

Namun, menurut Akhbar itu tiada bukti yang menunjukkan bahawa individu yang tersenarai itu sedang diawasi, atau sebarang rancangan pembunuhan yang konkrit.

Dalam serbuan itu, polis persekutuan merampas dua fail yang penuh dengan nama lebih 5,000 orang di kediaman salah seorang suspek, seorang peguam dan seorang ahli politik tempatan di Rostock, sebuah bandar di utara.

Ia berkata ahli-ahli politik dalam senarai itu terdiri daripada pelbagai pihak, termasuk anggota parti konservatif pimpinan Canselor Angela Merkel. - Reuters

785 dibaca
Berita Harian X