Selasa, 12 September 2017 | 11:22am
SETIAUSAHA Hal Ehwal Luar Britain, Boris Johnson. - Foto REUTERS

Masyarakat antarabangsa bantu mangsa Taufan Irma

LONDON: Britain, Perancis, Belanda dan Amerika Syarikat menggerakkan usaha mengumpul dana bagi membantu mangsa di wilayah mereka selepas Taufan Irma melanda Carribean, minggu lalu.

Ketika ini, pelbagai pihak mengkritik usaha penyerahan bantuan kepada mangsa, terutama kepada penduduk di wilayah jajahan Britain.

Bagaimanapun, Setiausaha Hal Ehwal Luar Britain, Boris Johnson, menolak dakwaan itu dan berkata kepada BBC: "Saya yakin kita akan melakukan sedaya upaya yang kita mampu untuk membantu warga Britain".

Sebelum ini, Britain mengumumkan dana bantuan bernilai AS$42 juta (RM176.65 juta) dan menghantar 10 pesawat membawa bekalan sejak Jumaat kepada penduduk di wilayahnya di Carribean, Kepulauan British Virgin dan Anguilla.

Enam mangsa dilaporkan maut di wilayah Britain terbabit.

Antaranya termasuk bekalan perubatan, kit perlindungan kecemasan, bekalan makanan dan air bersih, selain turut membawa jurutera dan anggota tentera untuk membantu mangsa Taufan Irma.

"Lebih banyak bantuan dan anggota penyelamat akan dihantar dalam tempoh beberapa hari lalu, termasuk doktor perubatan, doktor gigi, jururawat dan lain-lain pakar," kata Kementerian Luar, semalam.

Sementara itu, Perancis turut menghantar pelbagai bantuan, termasuk helikopter, peralatan kejuruteraan dan bekalan perubatan dan jutaan liter air, selepas tiga loji rawatan air di St Barts serta St Martin musnah akibat dilanda Taufan Irma.

Kementerian Pertahanannya turut mengumumkan sebuah kapal milik tentera akan berlepas dari Perancis hari ini, dengan membawa empat lagi helikopter dan 1,000 tan bekalan, selain berfungsi sebagai hospital terapung.

Kementerian Pertahanan Belanda pula sudah menempatkan dua kapal laut yang membawa sebuah helikopter dan bekalan di kawasan berkenaan sebelum ia dilanda taufan.

Selain itu, mereka turut menghantar empat pesawat tentera bagi mengedarkan bekalan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan peralatan tentera. - AFP

136 dibaca
Berita Harian X