Khamis, 14 September 2017 | 12:18am
Wanita yang dijangkiti taun menerima rawatan di sebuah hospital di Sana'a, Yaman. - Foto EPA

Kes taun di Yaman bakal cecah 850,000

GENEVA: Kes wabak taun di Yaman yang dilanda krisis peperangan dijangka meningkat kepada 850,000 pada akhir tahun ini.

"Penularan wabak ini sudah mencecah satu angka yang amat besar ketika ini," kata Pengarah Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di Asia Barat, Robert Mardini, semalam.

Kemusnahan infrastruktur di Yaman akibat perang lebih dua tahun di antara kerajaan disokong Arab Saudi dengan pemberontak Syiah yang menguasai ibu negara, Sanaa menjadi punca epidemik ini merebak menjadi terbesar di dunia.

"Pada Julai lalu kami bimbang angka itu akan mencecah 600,000 kes akhir tahun ini, tapi kini ia sudah pun mencatat 647,000 kes," kata Mardini kepada AFP.

"Kami meramal ia akan menjadi 850,000 pada akhir tahun ini."

Pada awal minggu ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut 2,065 orang sudah maut setakat ini akibat jangkitan penyakit berkenaan. - AFP

385 dibaca
Berita Harian X