Selasa, 9 Januari 2018 | 1:51am
PAUS Francis. - Foto AFP

Paus Francis gesa sokong dialog di Korea

VATICAN CITY: Paus Francis menyeru semua negara menyokong dialog bagi meredakan ketegangan di Semenanjung Korea dan berusaha mengikat secara sah larangan mengharamkan senjata nuklear.

Dalam ucapan tahunan kepada diplomat, Francis juga mengulangi gesaan supaya 'status quo' Baitulmaqdis dikekalkan susulan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktirafnya sebagai ibu kota Israel.

Dalam ucapan itu, Francis juga menyebut isu perubahan cuaca, menyeru negara kekal komited terhadap perjanjian Paris 2015 bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Trump mengumumkan, AS menarik diri daripada perjanjian itu.

"Adalah penting menyokong setiap usaha dialog berkaitan Semenanjung Korea, bagi mencari cara baharu menangani pertelingkahan terkini, meningkatkan kepercayaan secara bersama dan memastikan masa depan aman untuk rakyat Korea dan seluruh dunia," kata Francis.

Francis berucap sehari sebelum Korea Utara dan Selatan dijangka bertemu bagi membincangkan penyertaan di Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang dan isu lain.

"Senjata nuklear perlu diharamkan," kata Francis memetik dokumen dikeluarkan Paus John XXIII ketika kemuncak Perang Dingin dan menambah 'tidak dapat dinafikan api kemarahan mungkin boleh dimulakan dengan sedikit peluang dan keadaan tidak diduga.

Beliau berkata, bandar ini adalah antara 122 negara yang bersetuju dengan perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mengharamkan senjata nuklear. - Reuters

501 dibaca
Berita Harian X