Selasa, 9 Januari 2018 | 8:55pm
PERDANA Menteri, Britain Theresa May mengetuai mesyuarat kabinet pertamanya pada tahun baru berikutan rombakan di London. - Foto REUTERS

PM Britain sambung rombakan Kabinet

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May, berhasrat menyelesaikan rombakan Kabinet hari ini tanpa kesilapan lagi selepas hari pertama dicemari gangguan dan keengganan sebahagian menteri melepaskan jawatan masing-masing.

Anggota kanan parti Konservatif pimpinannya menyertai pengulas akhbar dalam menyelar rombakan penuh huru-hara menteri kanan semalam, yang dijangka disusuli penyusunan semula pangkat rendah hari ini.

Menteri rendah perdagangan, Mark Garnier, menjadi yang pertama digugurkan, dan berkata dalam Twitter 'amat sedih dengan kehilangan kerja' tetapi akan menyokong kerajaan.

Garnier menjadi subjek siasatan dalaman lewat tahun lalu selepas meminta setiausahanya ketika itu membelikan beliau alat mainan seks, tetapi dibebaskan daripada sebarang salah laku.

Rombakan bertujuan 'menyegarkan semula' Kabinet May selepas pergolakan tahun lalu, apabila hilang majoriti Parlimen pada pilihan raya, dan memaksa tiga menteri kanannya meletak jawatan susulan skandal.

Ia juga persediaan sebagai cubaan memperkenalkan orang baru dalam kerajaan, termasuk lebih ramai wanita, etnik minoriti dan beberapa ahli Parlimen baru.

Selepas permulaan yang kecoh, May berada dalam tekanan untuk lebih tegas.

"Saya tidak berniat untuk biadap atau dilihat tidak setia tetapi perlu ada pembaikan besar-besaran untuk rombakan esok," kata ahli perundangan Konservatif, Nicholas Soames, dalam Twitter malam semalam.

Pengulas dalam akhbar The Times menambah: "Peristiwa yang sepatutnya digunakan untuk menjelaskan arah kerajaan selepas beberapa bulan dalam kesukaran cuma menunjukkan ketidakupayaan di No 10". AFP

122 dibaca
Berita Harian X