Selasa, 9 Januari 2018 | 10:33pm

13,000 pelancong terperangkap akibat salji tebal

GENEVA: Salji tebal menyebabkan kira-kira 13,000 pelancong terperangkap di Zermatt, antara pusat ski paling popular di Switzerland.

Ketua stesen, Janine Imesch, berkata salji menghalang semua jalan raya dan kereta api menghala ke pusat peranginan berkenaan di Valais, selatan Switzerland yang turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

"Kira-kira 13,000 pelancong terkandas di Zermatt," katanya manakala laman web stesen memberi amaran, 'ketibaan dan kepulangan pengunjung adalah mustahil buat masa ini'.

Katanya, laluan masuk utama ditutup sejak awal semalam manakala perjalanan kereta api ditangguhkan pada petangnya.

Zermatt dihuni kira-kira 5,500 penduduk dan berkeupayaan menampung hingga 13,400 pelancong yang menginap di hotel dan apartmen sewaannya.

Pelancong yang terkandas bagaimanapun tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti berikutan salji runtuh di kawasan itu.

"Aktiviti meluncur salji malah bersiar-siar di kawasan itu tidak mungkin dilakukan tetapi pengunjung tidak perlu panik," kata Imesch.

Tinjauan menerusi kapal terbang dirancang bagi mendapatkan situasi menyeluruh namun belum diputuskan bagaimana ia akan dilakukan.

Agensi berita ATS melaporkan, beberapa perkampungan di tempat lain di Valais terputus hubungan berikutan hujan lebat manakala wilayah Simplon diselubungi salji setebal dua meter dalam tempoh 24 jam. - AFP

277 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »