Rabu, 10 Januari 2018 | 9:37pm
Mikhail Popkov. - Foto Wikipedia

'Werewolf' Russia dibicara kes bunuh 59 orang

MOSCOW: Bekas anggota polis Russia yang sudah disabitkan membunuh 22 wanita, dibicarakan hari ini untuk 59 pembunuhan lagi.

Mikhail Popkov, 53, hadir di mahkamah di bandar raya Irkutsk di Siberia selepas mengaku melakukan 59 pembunuhan dan satu cubaan membunuh antara 1992 dan 2010, lapor agensi berita Interfax.

Beliau sudah pun menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana merogol dan membunuh 22 wanita, dan cubaan membunuh dua lagi.

Popkov membunuh mangsanya selepas menawarkan wanita menumpang keretanya pada larut malam, kadang-kadang menggunakan kereta polis, ketika tidak bertugas di pekan kelahirannya di Angarsk berhampiran Irkutsk.

Dia diberi gelaran 'serigala jadian' dan 'si gila Angarsk' oleh media Russia.

Jika disabitkan melakukan 81 pembunuh, dia mengatasi jumlah keseluruhan jenayah yang dibuat tokoh lebih popular seperti 'pembunuh papan catur', Alexander Pichushkin, yang membunuh 48 mangsa, dan Andrei Chikatilo, disabitkan membunuh 52 orang ketika era Kesatuan Soviet.

Sesi pendengaran penuh hari ini menyaksikan pendakwa raya membacakan tuduhan terhadap Popkov.

Ia ditutup kepada media untuk mengelakkan maklumat serangan seksual ke atas mangsa diketahui umum, lapor agensi berita Interfax. - AFP

350 dibaca
Berita Harian X