Khamis, 11 Januari 2018 | 9:12pm
Sebuah kereta polis di hadapan pintu utama Hotel Ritz dimana lima perompak merompak kedai pameran barang kemas di tingkat bawah hotel berkenaan di Paris, Perancis. - Foto EPA-EFE

Polis Perancis temui barang kemas dirompak

PARIS: Polis Perancis menemui semula sebahagian barang kemas bernilai lebih 4 juta euro (RM19 juta) yang dirompak dari Hotel Ritz di tengah ibu kota negara itu, kata sumber polis ketika pihak berkuasa terus memburu dua pencuri yang masih bebas.

Sekumpulan lima perompak menggunakan kapak untuk memecahkan tingkap kedai pameran barang kemas di tingkat bawah hotel berkenaan di Place Vendome, semalam kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan.

"Sebahagian daripada barang kemas yang dirompak ditemui bertaburan ketika penangkapan tiga suspek," kata sumber polis, merujuk kepada lelaki yang ditahan tidak lama selepas rompakan itu.

Lebih barang kemas dan jam tangan ditemui dalam beg yang dibuang oleh seorang daripada dua suspek yang masih bebas, kata sumber, tanpa memberikan anggaran nilai barangan diperoleh semula itu.

Place Vendome, yang menempatkan pengeluar barang kemas dan jam tangan mewah terkemuka Paris, menjadi lokasi beberapa rompakan siang hari sejak beberapa tahun ini.

Sebahagian jenama mewah mempamerkan barang kemas mereka di Ritz, yang terkenal sebagai kawasan kegemaran selebriti seperti Coco Channel dan Ernest Hemingway selain menjadi lokasi terakhir dihuni Puteri Diana sebelum kematiannya dalam kemalangan kereta pada 1997.

Tiga daripada perompak, yang memakai sarung tangan dan topeng yang menutup kepala dan leher kecuali mata dan membawa pistol selain kapak, memasuki hotel dari belakang dan memecahkan tingkap, menurut dua sumber polis. - AFP

231 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »