Khamis, 11 Januari 2018 | 10:21pm
RAJA Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn. - Foto Reuters

Kes tembak Raja Thai guna peluru plastik digugur

BERLIN: Pendakwa raya Jerman menggugurkan siasatan ke atas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ketika itu, yang disyaki menembak peluru plastik ke arah Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn berhampiran Munich musim panas tahun lalu.

Majalah Der Spiegel semalam melaporkan, siasatan ke atas remaja terbabit digugurkan selepas mendapati tembakan itu dilepaskan tanpa niat untuk mencederakan sesiapa.

Vajiralongkorn yang kerap melawat Bavaria, sedang berbasikal berhampiran Munich ketika kejadian dan insiden itu disiasat pendakwa raya Bavaria.

Remaja itu bersama seorang lagi rakannya berusia 13 tahun ketika itu terlalu muda untuk disiasat, memberi keterangan, mereka berlawan melihat siapa yang lebih dulu mengenai sasaran menggunakan pistol udara.

Dua remaja itu disyaki melepaskan tembakan dari sebuah taman atau tingkap rumah ke arah sekumpulan penunggang basikal terdiri daripada Vajiralongkorn dan rombongannya.

Tidak lama kemudian, lebih banyak tembakan didakwa dilepaskan ke arah kenderaan diraja di bandar kecil Erding, sejauh 35 kilometer dari Munich, kata pendakwa raya Jun lalu. - Reuters

1333 dibaca
Berita Harian X