Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:26am
Ratu Elizabeth

Waran diraja Rigby & Peller ditarik balik

LONDON: Pereka pakaian dalam mewah yang dipakai Ratu Elizabeth II, kehilangan waran dirajanya selepas pemilik terdahulunya, menerbitkan sebuah buku mendedahkan butiran baju dalam keluarga diraja itu.

Namun, June Kenton, 82, yang masih memegang jawatan sebagai lembaga pengarah syarikat Rigby & Peller itu, menyatakan 'tiada' sebarang unsur dalam buku biografi tulisannya, bertajuk 'Storm in a D-Cup' yang boleh menyinggung keluarga diraja berkenaan.

Sebaliknya, media Britain melaporkan, Kenton berkata, beliau hanya menyentuh sesi mencuba pakaian dalam oleh Ratu Elizabeth dalam keadaan separa berpakaian pada 1980-an, selain menceritakan anekdot peribadi seperti yang dikongsikan ibu baginda.

Selain itu, Kenton turut menulis bahawa Puteri Diana ada menemuinya untuk mencuba pakaian dalam dan membuang poster model pakaian dalam kepunyaan anak remajanya, Putera William dan Harry.

"Saya mengesahkan waran untuk Rigby & Peller ditarik balik tapi tidak dapat memberi butiran lanjut mengenainya.

"Waran Diraja boleh dibatalkan pada bila-bila masa atas pelbagai sebab," kata jurucakap bagi Persatuan Pemegang Waran Diraja kepada AFP dan menerangkan pemberian waran itu perlu dinilai semula setiap lima tahun.

Waran Diraja ialah tanda rasmi yang diberikan kepada pembekal keluarga diraja dan lazimnya ditawarkan kepada syarikat komersial multinasional.

Kira-kira 800 syarikat memiliki kelayakan menggunakan jubah diraja bagi produk dan kad perniagaan mereka, termasuk Fulton, pengeluar payung kesayangan Ratu Elizabeth serta pembuat barang kulit, Ettinger dan tukang jahit, Henry Poole.

Gedung membeli-belah mewah, Harrods pernah ditarik semula anugerah waran itu pada 2000 selepas pemiliknya, Mohamed al Fayed menuduh keluarga diraja merancang kemalangan 1997 yang menyebabkan anak usahawan itu, Dodi dan Puteri Diana terkorban. - AFP

2514 dibaca
Berita Harian X